SATU Surat Perjanjian Kolaborasi telah ditandatangani secara bersama Cuckoo International dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk projek ‘H2O Industrial Centre of Excellence (H2O ICOE)’.
Surat berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Datuk Dr Aini Ideris dan Ketua Pegawai Eksekutif Cuckoo International, Hoe Kian Choon.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari Idris dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (UPM), Prof. Datuk Dr. lr. Renuganth Varatharajoo menjadi saksi majlis tandatangan tersebut.
Projek berkenaan akan dijalankan selama 5 tahun melalui 3 fasa dengan matlamat untuk menubuhkan sebuah Pusat Rujukan Industri Kebangsaan (Industrial National Reference Centre).
Pusat rujukan itu berfungsi sebagai penanda aras bagi kualiti air dalam industri dan juga rakyat Malaysia demi kesihatan orang ramai melalui perolehan air yang berkualiti dan sihat.
Selain itu, rancangan lain yang bakal dilaksanakan termasuk penubuhan sebuah Muzium Air (Water Museum) dan Pusat Pengalaman Air (Water Experience Centre). Kedua-dua penubuhan ini akan menyediakan kajian kes dan maklumat untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang kepentingan air yang bersih dan sihat.
Profesor Dr Ahmad Zaharin Aris, Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar yang juga pakar dalam pelbagai kajian termasuk hidrokimia, kualiti air, kimia alam sekitar dan forensik alam sekitar akan mengetuai pasukan penyelidikan.
Kian Choon berkata, pelaburan Cuckoo sebanyak RM10 juta dalam projek itu mencerminkan potensi yang dimilikinya sebagai visi untuk mengubah landskap industri rawatan air di Malaysia.
“Saya percaya penyelidikan dan pembangunan lebih lanjut adalah amat penting untuk Cuckoo, jenama yang sentiasa mencari strategi untuk menghasilkan produk secara lokal supaya produk kami dapat memenuhi keperluan dan kehendak pengguna.
“Sebagai seorang alumni UPM, saya bangga kerana kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat Cuckoo yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Kolaborasi ini sememangnya menjadi pencapaian hebat bagi Cuckoo International yang kini merupakan pusat cawangan di rantau Asia Tenggara,” kata Khian Choon.
SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/mobile/bisnes/lancar-projek-h20-icoe-1.845347